Latest News

Saturday 25 November 2017

AMANAT PERJUANGAN PEMUDA PPBM


Bismillahirahmanirahim, 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tuhan yang menciptakan setiap insan dan menghakimi hari pembalasan.

“Beriku 1000 orang tua, nescaya kucabut semeru dari akarnya. Beriku 10 orang pemuda nescaya kugoncangkan dunia”- Soekarno

Sejarah telah membuktikan anak muda merupakan tunjang kepada kekuatan sesebuah bangsa. Penaklukan konstantinopel oleh Muhammad Al-Fateh menjadi manifestasi peranan pemuda dalam pembangunan negara.

Wahai anak muda, perjuangan kita bukan sekadar pada nama. Walau pelbagai usaha dilakukan untuk melemahkan kebangkitan kita, Pemuda PPBM akan terus melangkah dengan semangat yang kuat. Semakin kita ditekan semakin kita bangkit memperjuangkan hak kebenaran. Jangan sekali-kali kita fikir rakyat itu bodoh. Kami pasti, rakyat Malaysia rata-rata dapat menghidu permainan jahat yang dimainkan mereka bagi membenamkan usaha kita.

Bermula dengan kelantangan Tan Sri Muhyiddin Yassin menentang kemungkaran yang berlaku dalam UMNO. Mereka cuba untuk mendiamkan beliau dengan sogokan jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad dan Yang di-Pertua Pulau Pinang. Namun, atas prinsip murni dan integriti Tan Sri Muhyiddin, beliau menolak sogokan tersebut kerana tidak mahu terpalit dengan dosa rasuah yang kian menjadi budaya dalam UMNO. Amar ma’ruf nahi mungkar!

Serangan mereka tidak berhenti, dari cubaan membeli tampuk pimpinan parti sehingga mengucar-kacirkan kesepaduan ahli. Serangan mereka bukti bahawa UMNO hari ini begitu terdesak untuk mencari talian hayat kepada nyawa mereka yang semakin hari semakin nazak. Pemuda PPBM memberi amaran kepada UMNO, jangan sekali-kali kalian berfikir yang kami akan berundur. Tidak sedikit pun kami gentar kerana perjuangan ini bukan perjuangan PPBM sahaja namun bersama dibelakang kami adalah harapan seluruh rakyat Malaysia. Pemuda PPBM akan terus menghantar tentera armada kami menentang keris palsu ditangan pemimpin yang zalim. Akan kami kibar panji kebenaran bagi mengembalikan MARUAH AGAMA, BANGSA dan NEGARA.

WAHAI ANAK MUDA, telah lama kita bermain dengan baik. BANGKIT ANAK MUDA, semboyan telah berbunyi, tiba masa serangan kita diperkasa. AYUH ANAK MUDA, bersama-sama angkat senjata kita menentang kezaliman rejim yang telah sekian lama merobek keharmonian rakyat. Kami menyeru semua ahli dari pimpinan pusat kepada negeri hingga ke akar umbi, tiba masa untuk sampaikan kepada semua mesej perjuangan kita. Kita londehkan setiap kemungkaran mereka. Giatkan penerangan kepada rakyat dari pertemuan mata hingga ke alam maya.

Kepada UMNO kami lontarkan persoalan dan tuntut penjelasan.

1. MENGAPA 2.6 Billion yang dimasukkan dalam akaun Peribadi Dato’ Seri Najib yang kononnya untuk kegunaan parti, tidak disimpan mengikut lunas perlembagaan UMNO sejajar dengan fasal 26. Bukankah ini satu penghinaan kepada kepercayaan ahli dan melanggar perlembagaan parti?

2. Perlucutan Jawatan dan keahlian bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir tidak mengikut peraturan perlembagaan. Sebarang cara selain Perhimpunan Agung Khas atau Perhimpunan Agung Tahunan untuk mengugurkan mereka adalah tidak sah dan melanggar Fasal 9 Perlembagaan UMNO. Ditambah pula, mereka tidak diberi ruang pembelaan sewaktu pelucutan jawatan. Bukankah ini satu pelanggaran perlembagaan yang boleh menyebabkan pengharaman UMNO buat sekian kalinya? Laporan telah dibuat oleh Tan Sri dahulu, namun begitu kerana salah guna kuasa, tiada tindakan lanjut mengenai laporan ini.

3. Bagaimana boleh dikatakan yang Perhimpunan Agung UMNO itu adalah sah? Sedang korum mesyuarat dari pihak cawangan hingga bahagian tidak mencukupi sejak akhir-akhir ini? Banyak kes pemalsuan dokumen dan tandatangan kehadiran sewaktu mesyuarat agung cawangan.

Bukankah ini semua satu petanda kebobrokan pengurusan UMNO? Bukankah ini semua satu pengkhianatan kepada ahli dan rakyat? Bukankah ini semua satu pelanggaran etika dan menghina keluhuran perlembagaan organisasi?

Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Kami pohon keadilan dalam tindakan.

Halal haramnya nama ARMADA bukan paksi perjuangan kami. Ini semua adalah satu usaha oleh pihak UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat dari masalah yang hakiki. Apa pun nama yang diguna pakai tidak akan menghalang kenaikan harga minyak serta mengembalikan subsidi, nama apa pun yang diguna pakai tidak akan mengurangkan hutang negara yang kian meningkat, nama apa pun yang diguna pakai tak akan membantu rakyat yang semakin miskin dan kos sara hidup yang kian naik dirompak oleh pimpinan zalim UMNO dan Barisan Nasional. Perubahan hanya dapat dilakukan dengan perjuangan dan perjuangan tidak akan terhenti, kerana perjuangan kita belum selesai.

Walau patah sayap rajawali,
Tetap semangat terbangnya tinggi,
Walau disekat berkali kali,
Perjuangan kami takkan terhenti.

Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman
Ketua Pemuda,
Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Mohd Aizad Bin Roslan
Timbalan Ketua Pemuda,
Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Ulya Aqamah Bin Husamudin
Ketua Penerangan Pemuda,
Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: AMANAT PERJUANGAN PEMUDA PPBM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top